Hari ini dalam sejarah. Bukan sejarah negara tapi bagi diri ini sendiri. Inilah hari pertama Ramadhan aku di rumah. Bukan rumah ibu bapa tapi rumah aku sendiri. Bukan lagi hanya menjadi biasa sentiasa duduk tapi kini perlu gagah walau perit berdiri sendiri.
Tahun lepas juga ada sejarahnya sendiri kerana itu pertama kali aku menyambut Ramadhan sebagai seorang suami kepada seorang perempuan bergelar isteri. Bezanya tahun ini aku menyambut Ramadhan di rumah aku sendiri. Memang besar perbezaan yang aku rasai tambah pula aku sentiasa bimbang memikirkan cabaran yang bakal aku lalui sepanjang sebulan puasa dan akan datangnya Aidilfitri.
Tapi, bulan Ramadhan penuh rahmat dan rezeki. Rakan sekerja mahu bercuti sepanjang sebulan bukan hanya sehari. Segera aku menawarkan diri aku untuk sambung bekerja sebagai pengganti. Jadi bermula hari ini hingga Aidilfitri bekerjalah aku hingga malam bermula dari pagi. Ada waktu rehat selama tiga jam dari jam enam petang yang pihak pengurusan bagi. Hasil gaji bolehlah menampung belanja untuk hari raya nanti.
Aku terlalu bimbang akan sukarnya mencari rezeki tapi aku lupa untuk meminta dari Yang Memberi dengan sepenuh hati. Semua itu akan cuba diubah bermula Ramadhan ini semoga bukan saja dilimpahi rezeki tapi pelayaran diberkati. InsyaAllah.
Selamat menyambut bulan puasa kepada sesiapa yang membaca semoga anda sentiasa redha dengan apa yang telah dikurnia walau apapun cerita anda
22 Ogos 2009
Hari Pertama Ramadhan
Artikel ini telah ditulis oleh
Kapten Kapal.
Berkenaan dengan
Pekerjaan,
Pengalaman,
Perayaan / Satu Sambutan
dan menerima
0 maklum balas:
Apa maklum balas anda...?