04 Julai 2012

Dua Dompet dan Tujuh Tas Tangan

Tangan yang memberi lebih mulia dari tangan yang menerima dan tiadalah dimanfaat pemberian itu jika tiada yang terima dan guna. Ada hari kita menerima dan ada hari kita memberi pula. Cuma bentuk pemberian yang berbeza dan kepada siapa tidaklah dikira.

Permudahkanlah urusan kebaikan orang lain dan InsyaAllah urusan kita juga akan dipermudah. Allah itu Maha Adil dan Maha Mengetahui akan segalanya, yang di dalam hati dan di fikir minda

12 Jun 2012

Hospitaliophobia Dan Saraf Mata

Hari ini aku tinggalkan urusan niaga menemani ayah merawat mata. Awal pagi tadi setelah selesai gerai dibuka terus ke hospital naik Iswara dan gerai di tinggal Siti yang jaga. Dari jam lapan hingga lapan jam kemudian baru selesai segala proses pemeriksaan. Hospital Taiping tiada kepakaran untuk menjalankan operasi pembedahan dan surat temujanji kemudiannya dikeluarkan untuk meneruskan segala rawatan dan di antara empat hospital yang disyorkan Hospital Sg Buloh menjadi pilihan.

28hb Julai tarikh pembedahan untuk cuba membetulkan kembali kecacatan penglihatan. Ayah ternyata bimbang kerana segala di luar jangka, disangka hanya selaput saja tetapi kini saraf belakang mata pula.

Kecewa aku dengan diriku sendiri melihat keadaan ayah aku begini. Terlalu lembab untuk aku mula 'berlari' dan gandakan usaha menambah rezeki. Susah sungguh ayah aku kini dan aku pula semakin lemas dalam masalah sendiri.

Semoga Allah panjangkan usia dan kesihatan semua kerana aku ingin ayah gembira melihat aku mencapai jaya seperti apa yang diinginkannya dan dapatlah aku membebaskan dia dari himpitan masalah dunia yang menggugat bahagia. InsyaAllah.

16 Mac 2011

Satu Dua Tiga Dan Kemudian Empat Lima

Kini aku mengambil langkah berjaga, hanya mengikut saja mereka, tidak lagi berkata apa, nanti perniagaan entah kemana, hilang kawan pula jadinya. Di sini benarnya kata mereka, yang dikejar (perniagaan) tak dapat juga, yang dikendong pula(kawan-kawan) berciciran merata.

04 Oktober 2010

Pindah Ke Tapak Sebelah

Hari ini ada sesuatu yang berbeza. Aku bertindak mengubah kedudukan tempat aku berniaga. Sebelum ini aku menurut saja segala kata ditutur penyewa walaupun bukan kuasanya mengutip sewa, menghormati dirinya yang sudah tua, kerana aku ingin berniaga, dan berkongsi rezeki bersama-sama, walaupun membayar begitu saja untuk sepetak ruang untuk berniaga

Kadar sewa taklah tinggi mana, masih logik dalam kira-kira, cuma kehadirannya mengganggu jiwa, asyik mendesak menaikkan sewa, atau beli saja tapak niaga kini darinya, sedangkan harta bukan dia yang punya, dan jelas dia melanggar cara dan juga perjanjiannya dengan pihak berkuasa (MDK).

Itupun tetap aku ikut rentaknya, mengenangkan peluang dapat berniaga, setuju aku wangnya disedia, setelah berunding menetap harga, untuk membeli tapak niaga. Kemudian tiba hari dikata, hari untuk menukar nama, tiba-tiba lain pula jadinya, mungkin ketamakan menguasai dirinya lantas dia mula mempersoal harga, terlalu rendah pula katanya. Dia minta dinaikkan harga dan sekali-sekala nak akhbar percuma.

Logik kesabaranku sudah tiada. Bukan melenting tak tentu hala cuma diberi muka besar pula kepalanya. Aku nekad mengambil cara mengubah tempat aku berniaga. Dia datang lalu bertanya kenapa berniaga di sini (tapak baru) pula, lantas aku menjawab soalannya, yang aku dah malas melayan karenahnya yang aku rasa tamak tak tentu hala.

Tambah menarik jalan cerita, dia ugut dia nak berniaga semula, aku berkata tidak mengapa dah macam tu jadinya nak buat macam mana, tiadalah rezeki aku berniaga nampaknya.

Kemudian Pustaka telefon bercerita, Dia ada pergi minta berniaga semula, tapi mereka terus berkata padanya yang mereka tak mahu berurusan dengannya dan aku boleh terus berniaga mencari rezeki seperti biasa.

Satu lagi cabaran selesai dicara dan menanti yang lain menjengah pula. Bersyukur aku dengan segala, cuma sedikit kesal begini akhirnya.

01 Julai 2010

Blockquote Number 1

If you don't risk anything, you actually risk everything

28 Jun 2010

Standing In The Eyes Of The World



Pahit getir hidup... dan pengorbanan
Terpaksa dihadapi, demi kejayaan
Terdidik sejak mula, tabah berusaha
Tanpa cuba melangkah, tak kemana
Di mana kau berada
Pencapaian tak tiba dengan mudah

Kini "Standing In The Eyes Of The World"
Hanyalah selangkah dari nyata
Keazaman membara dijiwa
Menanti saat bebas merdeka
Tiba masa kau melangkah gagah
Bersemangat ke arah matlamat sedaya upaya
Engkau terunggul
Wajar "Standing In The Eyes Of The World"

Harapan yang pernah terkulai layu
Kembali segar mekar bawah bayanganmu
Setiap manusia ingin berjaya
Namun tak semua miliki tuah
Engkau menghampirinya
Kesempatan telah pun tiba...

20 Mei 2010

Sedikit Ruang Rehat Untuk Seketika

Hari ini ada perkara yang sedikit berbeza dari hari-hari sebelumnya kerana hari ini hingga petang sahaja aku bekerja kerana pengganti tempat pekerja lama sudah ada. Jadi mulai hari ini hingga tiga hari lagi aku hanya bekerja pada sebelah pagi dan dalam tempoh masa ini bolehlah aku merehatkan diri serta membuat persiapan untuk mula berniaga nanti.

18 Mei 2010

Bakal Berniaga Dan Terus Bekerja

Dalam aku mencari-cari sumber rezeki tiba-tiba satu jalan Allah S.W.T beri. Aku terima satu tawaran untuk menguruskan satu perniagaan yang akan ditinggalkan oleh seorang rakan kerana dia nekad mengambil keputusan untuk menyambung pelajaran dalam bidang perubatan di negeri Kelantan.

Aku kini dalam proses bermula kembali dan segala aktiviti harian selepas ini akan berubah sama sekali. Bakal berniaga di sebelah pagi dan bekerja pula di malam hari. Permulaan yang pasti memenatkan tetapi tidak sekali aku anggap semua ini satu bebanan. Walaupun berniaga di tepi jalan tetapi bagi aku inilah satu langkah permulaan untuk bertapak semula secara kecil-kecilan dan bergerak meninggalkan titik kejatuhan.

Rezeki yang di kurnia aku terima dan bersyukur aku dengan segala pemberian-Nya. Kepada rakan yang akan ke Kelantan pula aku ucapkan selamat berjaya. Mari kita gandakan usaha dan terus mencuba juga berdoa agar pelaburan kita tidak sia-sia.

09 Mei 2010

Akan Datang Tak Lama Lagi

Tiba-tiba terlintas di fikiran aku pagi tadi ketika melihat air pili mengalir semasa mandi. Lagi sembilan puluh tiga hari bulan Ramadhan akan tiba lagi. Dengan keadaan kini sememangnya perlu aku mula menggerakkan diri. Bekerja dengan lebih kuat lagi bagi menambah kadar rezeki. Supaya apa yang dulu terjadi tidak berulang sekali lagi.

Banyak perkara yang perlu aku atasi dalam tempoh masa yang singkat ini sebelum datangnya Ramadhan yang kemudiannya disusuli pula Hari Raya Aidilfitri. Perkara yang mula sekali semestinya kereta Iswara aku perlu dibaiki. Seterusnya cukai jalan yang bakal mati perlu juga aku perbaharui. Kemudiannya pula persiapan Aidilfitri dan dana untuk pulang beraya di kampung isteri.

Satu siri cabaran lagi untuk aku atasi dalam perjalanan hidup di dunia ini kerana tanpa segala yang terjadi mungkin banyak realiti tidak aku mengerti.

03 Mac 2010

Satu Perpuluhan Lima Peratus

Ini penglibatan pertama aku dalam urusan sebegini rupa. Pengalaman langsung tiada hanya mengharap bantuan dan tunjuk ajar dari kenalan saja. Baru hendak belajar sedikit sebanyak selok belok dan tatacara. Barang sudah lama tersedia menanti pembeli berminat dan mampu membida. Penjual sudah meletakkan harga dan pihak yang terlibat juga sedang giat menggerak usaha. Aku pula hanya menunggu masa untuk mendengar khabar gembira dan membantu sedikit sebanyak yang aku mampu sedaya upaya.

Walaupun sukar mencari pembida tetapi rezeki dari Allah tiada siapa boleh menduga dan kita sebagai hambaNya hanya perlu terus berusaha dan berdoa mengharap bantuanNya.