22 September 2009

Selamat Hari Raya

Hari ini ialah Hari Raya Aidilfitri hari yang ketiga. Aku baru berpeluang nak online. Raya kali ini aku beraya di perantauan jauh dari kampung halaman. Aku beraya di kampung isteri. Tidak semeriah seperti di Malaysia tetapi tetap ada istimewanya dan perasaan bahagia. Aku nak bercerita mengenai hari raya aku tahun ini.

Helaian Kertas Dan Kepingan Besi. Memang tak cukup. Tapi, syukur Alhamdullilah aku masih boleh survive dalam kekalutan renangan mengelak mati lemas dihanyut arus persekitaran.

Orang Kanan. Amat memahami dan cukup bersabar dengan keadaan hidup dan kesukaran sekarang. Memang adakalanya terjadi perselisihan tetapi semua itu sesuatu yang normal dalam pelayaran. Hanya melaram baju raya 'tangan dua' pemberian adik yang dia dah tak muat nak pakai, Sekadar berkasut berharga RM20, dan tidak ada apa yang baru seperti orang lain. Sekadar beg tangan pemberian mak dah menjadi penyeri dan membutakan mata orang lain mengenai segala yang lama. Walaupun macam tu dia tetap setia. Bersyukur aku menerima kurniaan begini.

Kapal Orang Kanan. Walaupun tak berada tapi memang sporting dan memahami. Tak banyak memberi tekanan malah memberi bantuan. Segan silu aku bila yang patut menerima kini memberi.

Bahagia. Tetap bahagia walaupun tak senang mana kerana sentiasa ada suka mengimbang duka.

Suasana. Memang berbeza berbanding di Malaysia. Tiada kuih-muih untuk dijamu sekadar ketupat dan tapai untuk tetamu. Semua orang berbaju baru berwarna warni dan boleh dikatakan mahal-mahal berbanding pakaian hari biasa. Kanak-kanak siang malam bermain mercun dan bebas berbelanja duit raya sepuas-puasnya tanpa terlalu banyak kongkongan. Memang ada yang berbeza dan istimewa beraya di sana.

Kereta. Sememangnya terhebat. Masih kuat walaupun belum sembuh dirawat. Sepanjang jalan aku lihat kereta-kereta yang lebih sempurna tersadai rosak tak berguna tapi kereta aku masih steady membawa aku sekeluarga ke destinasi. Kini aku tahu betapa bernilainya sesuatu itu walaupun sekilas mata tiada yang istimewa tapi kilasan semula ternyata nilainya. Tak akan aku jual ini kereta kerana banyak kenangan bersamanya.

Budi. Memang banyak hamba Allah yang sudi membantu ketika aku dalam kesusahan. Big boss tiba-tiba bagi duit raya RM 100 yang tak aku jangka amat memberi lega. Mekanik kereta aku walaupun berat hati tapi tetap 'membuka buku' untuk aku ansurkan kemudian. Kawan yang baru aku kenal pun banyak membantu menghadiahkan baju raya, juadah berbuka, buah kurma, dan macam-macam lagi.

Kesimpulannya, walaupun agak sempit keadaan sekarang tapi semua untuk kebaikan dan kesedaran yang menganjur kepada perubahan. Aku bersyukur kepada Allah yang Maha Pengasih, Penyayang, dan Pemberi.

0 maklum balas:

Apa maklum balas anda...?