04 Oktober 2010

Pindah Ke Tapak Sebelah

Hari ini ada sesuatu yang berbeza. Aku bertindak mengubah kedudukan tempat aku berniaga. Sebelum ini aku menurut saja segala kata ditutur penyewa walaupun bukan kuasanya mengutip sewa, menghormati dirinya yang sudah tua, kerana aku ingin berniaga, dan berkongsi rezeki bersama-sama, walaupun membayar begitu saja untuk sepetak ruang untuk berniaga

Kadar sewa taklah tinggi mana, masih logik dalam kira-kira, cuma kehadirannya mengganggu jiwa, asyik mendesak menaikkan sewa, atau beli saja tapak niaga kini darinya, sedangkan harta bukan dia yang punya, dan jelas dia melanggar cara dan juga perjanjiannya dengan pihak berkuasa (MDK).

Itupun tetap aku ikut rentaknya, mengenangkan peluang dapat berniaga, setuju aku wangnya disedia, setelah berunding menetap harga, untuk membeli tapak niaga. Kemudian tiba hari dikata, hari untuk menukar nama, tiba-tiba lain pula jadinya, mungkin ketamakan menguasai dirinya lantas dia mula mempersoal harga, terlalu rendah pula katanya. Dia minta dinaikkan harga dan sekali-sekala nak akhbar percuma.

Logik kesabaranku sudah tiada. Bukan melenting tak tentu hala cuma diberi muka besar pula kepalanya. Aku nekad mengambil cara mengubah tempat aku berniaga. Dia datang lalu bertanya kenapa berniaga di sini (tapak baru) pula, lantas aku menjawab soalannya, yang aku dah malas melayan karenahnya yang aku rasa tamak tak tentu hala.

Tambah menarik jalan cerita, dia ugut dia nak berniaga semula, aku berkata tidak mengapa dah macam tu jadinya nak buat macam mana, tiadalah rezeki aku berniaga nampaknya.

Kemudian Pustaka telefon bercerita, Dia ada pergi minta berniaga semula, tapi mereka terus berkata padanya yang mereka tak mahu berurusan dengannya dan aku boleh terus berniaga mencari rezeki seperti biasa.

Satu lagi cabaran selesai dicara dan menanti yang lain menjengah pula. Bersyukur aku dengan segala, cuma sedikit kesal begini akhirnya.

0 maklum balas:

Apa maklum balas anda...?