20 Mei 2010

Sedikit Ruang Rehat Untuk Seketika

Hari ini ada perkara yang sedikit berbeza dari hari-hari sebelumnya kerana hari ini hingga petang sahaja aku bekerja kerana pengganti tempat pekerja lama sudah ada. Jadi mulai hari ini hingga tiga hari lagi aku hanya bekerja pada sebelah pagi dan dalam tempoh masa ini bolehlah aku merehatkan diri serta membuat persiapan untuk mula berniaga nanti.

18 Mei 2010

Bakal Berniaga Dan Terus Bekerja

Dalam aku mencari-cari sumber rezeki tiba-tiba satu jalan Allah S.W.T beri. Aku terima satu tawaran untuk menguruskan satu perniagaan yang akan ditinggalkan oleh seorang rakan kerana dia nekad mengambil keputusan untuk menyambung pelajaran dalam bidang perubatan di negeri Kelantan.

Aku kini dalam proses bermula kembali dan segala aktiviti harian selepas ini akan berubah sama sekali. Bakal berniaga di sebelah pagi dan bekerja pula di malam hari. Permulaan yang pasti memenatkan tetapi tidak sekali aku anggap semua ini satu bebanan. Walaupun berniaga di tepi jalan tetapi bagi aku inilah satu langkah permulaan untuk bertapak semula secara kecil-kecilan dan bergerak meninggalkan titik kejatuhan.

Rezeki yang di kurnia aku terima dan bersyukur aku dengan segala pemberian-Nya. Kepada rakan yang akan ke Kelantan pula aku ucapkan selamat berjaya. Mari kita gandakan usaha dan terus mencuba juga berdoa agar pelaburan kita tidak sia-sia.

01 Oktober 2009

Pemandu Memandu dan Elaun Lebih


Hari ini aku jadi pemandu dan Kuala Lumpur jadi arah tuju. Selalu aku tunggu hari seperti ini kerana aku suka sangat memandu. bukan sekadar dapat memandu kereta tapi pendapatan juga dijana kerana aku bukanlah sekadar memandu percuma. Adalah sedikir bayaran yang aku terima dan sepadan dengan kerja dan sanggup aku bercuti dari kerja hari biasa kerana bayaran memandu lebih lumayan dan ketara bezanya. Bukan itu saja kerana aku juga dapatlah merasa satay kajang percuma dan kadang kala bayaran extra aku terima.

Sememangnya selalu aku kesana dan isteri tercinta juga ikut bersama. Sekadar begini caranya untukku bawa dia merasa, membuka minda, melihat dunia, dan buat dia lebih gembira kerana walau hanya ke tempat sebegini masih tak mampu aku tuju sendiri.

12 September 2009

Momentum Menjana Tenaga

Hari ini aku penat. Hari ini aku mengantuk. Hari ini banyak masalah. Hari ini juga aku masih bertahan. Walaupun pelbagai cabaran muncul menguji tapi hari ini satu projek berjaya aku disudahi.

Benar sekali apa yang aku baca yang momentum perlu sentiasa dijana dan dikekalkan sepanjang masa supaya terhasil tujahan tenaga berganda-ganda yang dapat membantu meneruskan kerja dan tiadalah tangguh dan juga berleka. Cuma aku harap segala dijana sekarang ini kekal selamanya dan bukan sekadar seketika.

22 Ogos 2009

Hari Pertama Ramadhan

Hari ini dalam sejarah. Bukan sejarah negara tapi bagi diri ini sendiri. Inilah hari pertama Ramadhan aku di rumah. Bukan rumah ibu bapa tapi rumah aku sendiri. Bukan lagi hanya menjadi biasa sentiasa duduk tapi kini perlu gagah walau perit berdiri sendiri.

Tahun lepas juga ada sejarahnya sendiri kerana itu pertama kali aku menyambut Ramadhan sebagai seorang suami kepada seorang perempuan bergelar isteri. Bezanya tahun ini aku menyambut Ramadhan di rumah aku sendiri. Memang besar perbezaan yang aku rasai tambah pula aku sentiasa bimbang memikirkan cabaran yang bakal aku lalui sepanjang sebulan puasa dan akan datangnya Aidilfitri.

Tapi, bulan Ramadhan penuh rahmat dan rezeki. Rakan sekerja mahu bercuti sepanjang sebulan bukan hanya sehari. Segera aku menawarkan diri aku untuk sambung bekerja sebagai pengganti. Jadi bermula hari ini hingga Aidilfitri bekerjalah aku hingga malam bermula dari pagi. Ada waktu rehat selama tiga jam dari jam enam petang yang pihak pengurusan bagi. Hasil gaji bolehlah menampung belanja untuk hari raya nanti.

Aku terlalu bimbang akan sukarnya mencari rezeki tapi aku lupa untuk meminta dari Yang Memberi dengan sepenuh hati. Semua itu akan cuba diubah bermula Ramadhan ini semoga bukan saja dilimpahi rezeki tapi pelayaran diberkati. InsyaAllah.

Selamat menyambut bulan puasa kepada sesiapa yang membaca semoga anda sentiasa redha dengan apa yang telah dikurnia walau apapun cerita anda